Ika Nabella Bakal Bertunang Dengan Jejaka Pilihan Hati

Pelakon Ika Nabella mendedahkan bahawa dia bakal bertunang dengan jejaka pilihannya yang dikenali sebagai Zaid pada 14 Mei ini di rumah keluarganya di Pulau Pinang.

Menurut Ika, beliau sudah lama bersahabat dengan ahli perniagaan itu dan bibit cinta mula timbul sejak 10 bulan lalu. Mereka merancang untuk berkahwin pada Julai depan.

Ika 2
Ika Nabella ketika rakaman Ketuk Ketuk Ramadan baru-baru ini.

“Kami sudah lama berkawan, namun masing-masing mempunyai haluan hidup sendiri. Kami dipertemukan semula 10 bulan lalu dan kebetulan masing-masing tidak mempunyai teman istimewa.

“Kami merancang untuk mengadakan majlis pertunangan di negeri kelahiran saya, Pulau Pinang, dan berkahwin pada Julai. Cuma tarikhnya belum pasti.

“Saya menganggap sudah tiba jodoh saya kerana biarpun berkawan selama lima tahun, rupa-rupanya dialah bakal teman hidup saya,” katanya.

Tambah Ika lagi, beliau sendiri lebih selesa tidak memuat naik sebarang gambar bakal suaminya dan meminta semua pihak menunggu sehingga majlis pertunangannya Sabtu ini.

Ika 3
Ika Nabella bersama kedua ibu bapanya.

“Dia bukan berlatar belakangkan dunia hiburan dan tidak biasa ke majlis atau acara sedemikian. Namun, saya akan cuba membiasakan diri Zaid dengan dunia saya sebagai pelakon.

“Buat masa ini biarlah tiada sebarang gambar bersama dulu. Saya lebih selesa begini kerana enggan menghebahkan benda yang tidak pasti. Mereka yang tertanya-tanya boleh menantikan saja Sabtu ini,” kata Ika.

Apapun, tahniah buat Ika dan pasangannya, Zaid. Semoga majlis pertunangan nanti akan berjalan lancar.

Written by Lyza Eyza

Lyza Eyza

Jangan pernah menoleh ke belakang, tapi sentiasa berfikir ke depan agar kita tidak melepaskan peluang yang ada di depan mata. Jadikan perkara yang lepas sebagai pengalaman yang terindah dalam hidup kita.

  • MOHAMAD RIDZUAN Zulkipli

    Tahniah…semoga berbahagia…